BKM 2022: Kerajaan peruntuk RM8.2 bilion, manfaat 9.6 juta penerima

0
1

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun ini akan memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat daripada 8.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun lalu.

“Pagi ini saya di LHDN Jalan Duta untuk memantau proses pendaftaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Bagi tahun 2022, Kerajaan memperuntukkan RM8.2 bilion untuk memanfaatkan lebih 9.6 juta KeluargaMalaysia.

“Bagi mengurangkan golongan yang tercicir, data yang berikut akan dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.

Data itu ialah penerima BPR 2021, penerima Bantuan Khas Covid (BKC) B40 2021 dan pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin.

Data agensi kerajaan yang lain merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, penghuni perumahan awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Orang Asli di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Selain itu, gelandangan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang.

Tengku Zafrul berkata, sehingga 7 Januari lalu, LHDN menerima sebanyak 1,429,262 permohonan baharu dan daripada kemas kini BKM dan daripada jumlah itu, sebanyak 355,071 adalah permohonan baharu, manakala 1,124,191 adalah permohonan kemas kini BKM.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, selain pendaftaran secara fizikal, rakyat juga boleh mendaftar untuk BKM secara dalam talian di https://bkm.hasil.gov.my .

“Kerajaan sentiasa serius dalam menambahbaik perkhidmatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat. Saya berharap bantuan tunai Kerajaan ini akan membantu meringankan beban Keluarga Malaysia, InsyaAllah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here