1,864 babi disahkan positif ASF dimusnahkan

0
1

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia mengesahkan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) telah menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang, Masjid Tanah di Melaka.

Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Norlizan bin Mohd Noor, berkata bagi mengawal dan mencegah penyakit ASF merebak, pihaknya menguatkuasakan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi ladang yang telah disahkan positif ASF.

“Pemusnahan babi menggunakan kaedah gas CO2 (high concentration) berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.

“Sehingga 7 Januari lalu, sejumlah 1,864 ekor ternakan babi daripada ladang yang disahkan positif ASF di kawasan Paya Mengkuang telah berjaya dimusnahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Norlizan berkata, selain itu aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi di Paya Mengkuang terus aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di semua 35 ladang babi di kawasan tersebut.

Katanya, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga diaktifkan melibatkan semua ladang-ladang penternakan babi di seluruh negara.

“Penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau PPV negeri atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya di talian 03-88702041,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here