PENYANYI Heliza Helmi yang baru melangsungkan perkahwinan baru-baru ini, melafazkan rasa syukur dan berterima kasih buat suaminya, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman kerana sudi menerimanya yang juga aktivis seadanya.
Dalam hantaran terbaharunya di laman Instagram, Heliza, 36, menggambarkan perkahwinannya itu atas keizinan Allah, maka dia dan Mahadi kini bergelar suami isteri yang sah.
“Kun Fayakun. Jadilah maka terjadilah. Jika Allah menghendaki sesuatu, maka apapun dapat terjadi.
“Maka dengan izin dan kekuasaan ALLAH SWT, maka terjadilah kami sebagai pasangan Zauj dan Zaujah. ALLAHU AKBAR. Kalau anda rasa terkejut, kami pun sama,” tulisnya di hantaran itu.
Heliza berkata, dia bersyukur dengan aturan ditetapkan Allah atas perkahwinannya yang berlangsung pada 1 Januari lalu.
“Tiada daya upaya kami melainkan ALLAH. Terlalu bersyukur atas segala yang ALLAH aturkan. Jazakumullahu khayr buat Zauj @mahadibz sudi meZaujahkan diriku ini yang bukan shiapa shiapa (siapa),” ujarnya.
Cerita pernikahan mereka masih menjadi bualan ramai di media sosial sehingga ada yang mencemburui majlis perkahwinan yang disifatkan sungguh mendamaikan, indah dan mengikut syariat Islam.
Heliza dan Mahadi diijab Kabul dalam majlis akad nikah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, jam 11.11 pagi pada 1 Januari lalu.
Heliza sah bergelar isteri kepada Mahadi yang berstatus jutawan itu dengan sekali lafaz, menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran. – Malaysiapost

