Nilam Oshman
LAMAN web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV) tidak akan lagi dikemaskini.
Makluman itu dinyatakan menerusi notis di laman web JKJAV.
Menurut JKJAV, langkah itu diambil susulan lebih 90 peratus penduduk dewasa Malaysia telah lengkap divaksinasi, dan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Justeru, orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai data dan analisa berkenaan Covid-19 sila ke www.covidnow.moh.gov.my.
Setakat semalam, peratusan vaksinasi populasi dewasa di Malaysia mencecah 97.7 peratus membabitkan 22,872,297 juta individu yang lengkap vaksinasi.
Mengikut perincian yang dikongsi menerusi portal CovidNow hari ini, sebanyak 98.9 peratus atau 23,160,259 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
Seramai 25,634,294 individu atau 78.5 peratus daripada populasi keseluruhan telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.
Manakala sebanyak 79.7 peratus atau 26,012,936 daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi populasi remaja pula, seramai 2,761,997 individu atau 87.8 peratus telah melengkapkan dua dos dan 2,852,677 individu atau 90.7 peratus mendapat satu dos.
Terdapat pertambahan 245,326 dos diberikan semalam, dengan 2,747 dos pertama, 3,859 dos kedua dan 238,720 dos penggalak.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 58,554,303 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). – Malaysiapost

