JABATAN Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) memantapkan usaha membantu mangsa banjir di Johor dengan penambahan pegawai dan anggota serta beberapa aset.
Komander Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, seramai 60 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dari KDNKA yang mempunyai pelbagai kemahiran operasi telah digerakkan ke daerah Segamat menerusi Op Banjir Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, jumlah berkenaan ditambah dengan kekuatan aset yang diturunkan bagi memperkasakan operasi mencari dan menyelamat yang sudah bermula sejak minggu lalu.
“Antara aset milik PDRM yang kini telah diaturgerak dalam operasi di Segamat ialah lapan bot PAC, PFB, Decoy OBM dan Rubber Dingdhy and Whally.
“Pasukan Op Banjir dari PDRM dibahagikan kepada beberapa penugasan di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Dewan Perdana Pusat Latihan Polis Segamat, rondaan dan tinjauan di kawasan yang terjejas akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai sembilan pegawai dan 11 anggota dari Batalion 6 PGA dengan dibantu tujuh pengendali bot dan dua mekanik ditugaskan membuat operasi membantu mangsa banjir di daerah berkenaan.
“Seramai dua pegawai dan sembilan anggota Pasukan Polis Marin dari Wilayah 2 Johor pula ditugaskan di kawasan Pagoh Tengah, Bukit Kepong dan Lenga.
“Tiga anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan juga ditempatkan di Kampung Batu Badak, manakala tiga pegawai dan 11 anggota Unit Tindakhas pula ditugaskan menjalankan misi mencari dan menyelamat di Kampung Pogoh Tengah,” katanya.
Menurutnya, tumpuan PDRM kini untuk memudah cara segala bentuk bantuan yang perlu diberikan bagi menyelamatkan penduduk dalam daerah itu. – Malaysiapost

