PENGUMUMAN Cheong Jun Hoong yang membuat keputusan bersara daripada arena sukan terjun telah mengejutkan peminat sukan tanah air.
Selepas menghambakan diri selama 20 tahun terhadap sukan itu, perjalanan karier Jun Hoong menemui noktah apabila terpaksa mengundurkan diri daripada sukan yang menaikkan namanya di persada dunia itu susulan kontraknya tidak diperbaharui Majlis Sukan Negara (MSN).
Meskipun dilihat masih mahu mewakili negara dan terus membanggakan Malaysia di pentas antarabangsa, namun dia terpaksa menerima hakikat perkembangan terbaharu yang diambil MSN itu.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan mereka selama ini. Tanpa mereka saya tidak akan berada di tempat sekarang.
“Saya juga menghargai bantuan Institut Sukan Negara (ISN) dalam semua aspek termasuk bantuan doktor, fisioterapi, kaunseling, psikologi dan sebagainya.
“Terima kasih atas sokongan dan dorongan berterusan sepanjang saya bergelar atlet. Dengan ini, saya mengumumkan persaraan secara rasmi,” katanya di Facebook miliknya lewat malam tadi.
Kejayaan paling manis dan membanggakan negara pernah dilakar Jun Hoong pastinya kejayaan meraih pingat emas 10m platform individu pada Kejuaraan Dunia 2017 di Budapest, Hungary sebelum cemerlang menjuarai acara 10m platform seirama Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.
Selain itu, pastinya peminat masih mengingati terjunannya bersama Datuk Pandelela Rinong menerusi acara 10 meter (m) platform seirama yang menghadiahkan pingat perak kepada Malaysia pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Atlet kelahiran Ipoh, Perak yang berusia 32 tahun itu juga berjaya meraih pelbagai kejayaan di pentas Asia Tenggara dan berada dalam kelas tersendiri apabila memenangi tujuh pingat emas, satu perak dan tiga gangsa sepanjang lapan penyertaan di Sukan SEA. – Malaysiapost

