Abang Martial perkuat benteng Sri Pahang

0
1

JOHAN Martial, abang kepada penyerang Manchester United, Anthony Martial sah menyarung jersi Sri Pahang FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menerusi hantaran Facebook rasmi kelab itu malam tadi, lapan muka baharu diumum menyarung jersi Tok Gajah itu termasuklah Johan yang merupakan bekas pemain pasukan remaja kebangsaan Perancis.

Selain itu, Fandi Othman, David Rowley, Sean Gan Gianelli, Muhammad Faizal Mohd Arif, Azwan Aripin, Wan Amirzafran Wan Nadris dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi turut menyertai Sri Pahang.

Difahamkan, senarai penuh pemain Sri Pahang yang kini dikendalikan Christophe Gamel akan diumumkan, hari ini.

Johan yang juga pemain pertahanan tengah berketinggian 1.84 meter bakal mengisi kekosongan ditinggalkan rakan senegara, Herold Goulon.

Johan sebelum ini beraksi dengan beberapa kelab Ligue1 termasuklah Bastia, Brest, Troyes dan musim lalu bersama FC Sochaux.

Sementara itu, pengalaman yang dimiliki Fandi, Rowley, Gianelli dan Muhammad Faizal diyakini membantu memperkasakan skuad Tok Gajah musim ini.

Walaupun belum mengumumkan secara rasmi barisan pemain, khidmat pemain tengah berpengalaman, Nor Azam Azih, Ashar Al Aafiz Abdullah dan Shahrul Aizad Zukifli yang beraksi musim lalu masih ditagih Sri Pahang untuk musim ini.

Sri Pahang membuat perubahan drastik bagi menghadapi kempen musim ini apabila mengumumkan Gamel yang juga bekas ketua jurulatih kebangsaan Fiji sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu manakala Dollah Salleh dilantik sebagai pengurus pasukan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here