Tangguh umrah demi nyawa rakyat – PM

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa Sabtu ini, untuk menjaga nyawa rakyat.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mendapatkan laporan terperinci berkaitan keputusan KKM itu, yang akan dibentangkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Mesyuarat Khas Kabinet, esok.

“KKM akan bentang isu Covid-19, terutama berkaitan penularan varian Omicron termasuk keputusan yang dibuat mengenai umrah dalam Mesyuarat Khas Kabinet.

“Esok saya akan dapatkan gambaran sebenar mengenai isu umrah. Cuma, saya nak maklumkan tindakan Kementerian Kesihatan lebih kepada nak jaga nyawa kita. Apa-apa pun esok saya mahu dapat laporan terperinci dahulu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Tandong, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, kerajaan memutuskan menangguhkan kebenaran mengerjakan umrah, bermula 8 Januari bagi membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Khairy dilapor berkata, ia susulan kebimbangan penularan varian berkenaan, akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di kediaman masing-masing menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini, berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan penilaian risiko situasi varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi.

Sebelum itu, katanya, perbincangan khas bersama beberapa agensi terbabit umrah diadakan disusuli Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam.

Beliau berkata, hasil perbincangan itu kerajaan memutuskan tidak ada perjalanan mengerjakan umrah selepas tarikh berkenaan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here