KKM larang penggunaan paku untuk bungkus makanan

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpamanya yang berbahaya pada pembungkusan makanan di premis masing-masing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mereka yang ingkar boleh didakwa di mahkamah serta dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan kepada peniaga sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan.

“KKM mengambil maklum mengenai isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di media sosial baru-baru ini, serta pandangan pelbagai pihak khuatir terhadap kaedah pembungkusan makanan yang tidak selamat ini.

“Di bawah Peraturan 37(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada mana-mana makanan hingga boleh mendedahkan makanan yang hendak dijual kepada risiko pencemaran oleh bahan-bahan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selain itu, pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan adalah bebas daripada pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna.

Beliau berkata, peniaga yang menyedia atau menjual makanan yang mengandungi bahan memudaratkan kesihatan boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Penyedia dan peniaga makanan juga dingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.

“Penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku, kerana sudah terdapat pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan membungkus makanan dengan baik,” katanya.

Justeru, katanya, orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan untuk memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan.

“Pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http:/moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq

“…jika menjumpai makanan yang dibungkus menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya serta lain-lain isu berkaitan keselamatan makanan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisahm berkata, hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pada 2019 hingga 2021, sebanyak 19 (3.5%) dari 546 sampel makanan yang dianalisis didapati telah tercemar.

Katanya, pencemaran membabitkan bahan fizikal seperti batu, plastik, pasir, rambut, serangga dan cacing.

“Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya telah diambil terhadap pengusaha atau peniaga terlibat.

“Manakala 45,361 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara pada 2021. Dari jumlah tersebut, sebanyak 697 atau 1.5% premis makanan telah ditutup akibat dari pelbagai kesalahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here