
JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dilapor mengeluarkan arahan penangguhan sementara aktiviti pengambilan hasil hutan termasuk balak pada musim tengkujuh serta bencana banjir melanda kini.
Berdasarkan surat arahan mengenai penangguhan itu yang tular di media sosial, ia berkuatkuasa bermula semalam sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Surat edaran ditandatangan oleh Pengarah Perhutanan Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin itu antaranya memaklumkan JPNP mengambil keputusan untuk memberhentikan sementara operasi pengusahahasilan hutan dan pengeluaran kayu dari matau di negeri Pahang.

Arahan itu turut meminta pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan segera bagi penangguhan sementara berkenaan.
“Ini bagi mengurangkan impak terhadap kawasan usahasil dan keselamtan pekerja.
“Tindakan yang sewajarnya akan diambil kepada pemegang lesen yang melanggar arahan ini dan boleh disabitkan kesalahan di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984,” menurut surat edaran berkenaan yang bertarikh 3 Januari 2022.- Malaysiapost
