Tan Cheng Hoe letak jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya

0
1
Tan Cheng Hoe

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini memaklumkan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya.

Keputusan itu dibuat kira-kira dua minggu skuad Harimau Malaya tersingkir daripada saingan Piala AFF Suzuki di Singapura, setelah tewas 1-4 kepada Indonesia.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar, Cheng Hoe telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan dan menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan skuad kendaliannya ke separuh akhir Piala Suzuki AFF, baru-baru ini.

“Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, FAM menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM,” katanya menerusi kenyataan.

Cheng Hoe bergelar penolong jurulatih B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2009 sebelum dinaikkan pangkat sebagai penolong jurulatih skuad B-23 negara sehingga 2010 dan seterusnya penolong jurulatih Harimau Malaya sehingga 2013.

Beliau kembali semula sebagai penolong jurulatih kepada Nelo Vingada pada Mei 2017 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan pada Disember tahun sama.

Antara kejayaan diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” kata Mohd Saifuddin lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here