Nurul Huda Abhar
INDIVIDU mempunyai kepakaran membaiki dan membaik pulih barangan elektrik dan pendawaian rumah diminta membantu mangsa banjir di kawasan Bentong, Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman, berkata pihaknya menerima banyak respon daripada mangsa yang terkesan bencana banjir dua minggu lalu memohon bantuan dari segi baik pulih peralatan elektrik dan pendawaian rumah.
Menurutnya, oleh itu beliau mengharapkan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain yang sudi menghulurkan kepakaran dari segi bantuan teknikal.
“Ada keluarga yang tidak mampu untuk membayar pendawaian rumah, membaiki barangan elektrik.
“Saya sangat mengharapkan ada NGO dan pihak luar yang sudi membantu mereka dari golongan B40 yang terkesan dengan banjir, memberikan khidmat untuk melihat dari segi pendawaian.
“Mungkin boleh selamatkan mesin basuh, peti ais. Ramai yang datang pada saya minta bantuan seperti itu kerana barang-barang itu sangat penting ketika ini,” katanya kepada Malaysiapost.
Beliau ditemui ketika mengagihkan barangan keperluan bagi mangsa banjir di Kampung Chegar Medang, hari ini.
Young Syefura berkata, masih terdapat lagi mangsa banjir di kawasan tersebut tidak dapat tinggal di rumah masing-masing berikutan keadaan pendawaian elektrik kediaman mereka rosak teruk.
“Ada juga mangsa yang masih tidak dapat duduk di rumah kerana pendawaian tidak selamat.
“Saya sangat berharap mereka di luar sana boleh memberi khidmat sukarelawan membantu mangsa banjir di sini,” katanya. – Malaysiapost

