MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi gambaran kemungkinan besar gelombang varian Omicron akan bermula di Malaysia, seperti mana negara-negara lain.
Beliau berkata, ketika vaksin Covid-19 dibangunkan tiada lagi dicatatkan varian Delta atau Omicron.
Katanya, SARS-CoV2 adalah ‘novel’ coronavirus yakni virus baharu yang pasti akan melalui mutasi.
“Apabila kita lebih tahu kesan mutasi, respons kita perlu juga berubah. Di sesetengah negara flu jab diambil setiap tahun,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Khairy berkata, walaupun ada yang merujuk data kesan varian Omicron tidak seteruk Delta, namun kebolehjangkitan Omicron lebih tinggi dari Delta.
“Jika denominator kes lebih besar, sudah pasti kemasukkan hospital/ICU (Unit Rawatan Rapi) meningkat. @KKMPutrajaya mahu elak sistem kesihatan awam lumpuh. Strategi: perlahankan Omicron,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai mengambil suntikan dos penggalak, memakai pelitup muka dan memastikan berada di kawasan mempunyai pengudaraan yang baik.
“MySJ Trace dan kawalan pintu masuk antarabangsa anatara langkah perlahankan penularan Omicron,” katanya. – Malaysiapost

