SERAMAI 7,527 anggota pasukan bomba dan penyelamat serta 438 aset telah diatur gerak di enam negeri yang dilanda gelombang kedua banjir, sejak Jumaat lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata maklumat terkini itu diterima selepas beliau mendapatkan taklimat dan kemaskini kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat dalam gelombang kedua banjir di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Putrajaya.
“Saya turut menerima laporan mutakhir “real-time” daripada pengarah-pengarah bomba negeri mengenai keadaan di seluruh negara khususnya enam negeri yang mengalami banjir.
“Group WhatsApp saya bersama mereka tidak pernah sunyi dengan kemaskini situasi di lapangan setiap masa. Ia juga memudahkan arahan diberi serta-merta dan tindakan dapat dilakukan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, beliau meminta bomba supaya dalam keadaan berjaga-jaga khususnya di pantai barat yang dijangka mengalami fenomena air pasang besar sehingga 5 Januari 2021.
“Insya-Allah, kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat berada dalam keadaan optimum dengan 4,878 operasi telah pun dilakukan sepanjang musim Monsun Timur Laut, sehingga jam 8 pagi tadi.
“Keberadaan Wira Merah di setiap lokasi, bagi saya merupakan relief kepada rakyat.
Untuk itu, saya doakan pasukan Wira Merah kita terus diberi kekuatan untuk memberi khidmat kepada rakyat, di mana sahaja, pada setiap masa,” katanya. – Malaysiapost

