KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) menyambut baik pengumuman bantuan dan usaha bagi membantu meringankan beban rakyat terutama mangsa yang terjejas teruk dalam bencana banjir yang melanda negara ketika ini seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas malam tadi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Perdana Menteri banyak menyentuh mengenai nasib mangsa banjir serta usaha dilakukan kerajaan bagi membantu mereka kembali bangkit selepas kediaman dan harta benda musnah.
“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa bencana banjir yang telah dinaikkan dari RM500 kepada RM1,000 setiap ketua isi rumah.
“Begitu juga dengan baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.
Menurutnya, bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000, manakala bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.
“Baucar tunai sebanyak RM1,000 juga disediakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain.
“Inilah antara usaha kerajaan dalam memastikan mangsa banjir terus diberi pembelaan untuk kembali bangkit meneruskan kehidupan. Mudah-mudahan ia membawa sinar baharu untuk tahun 2022 ini,” katanya.
Beliau yang juga Presiden MCA, berkata bagi tahun 2022 ini, sudah tentu kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“MOT juga menyokong usaha ini untuk membantu pemulihan ekonomi. Selain 21 agensi MOT yang menyelaraskan pasukan sukarelawan membantu mangsa banjir, kementerian juga komited dalam memastikan sektor logistik dan pengangkutan terus mantap dan berkembang.
“Ini seperti dibuktikan oleh Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas apabila berjaya memecahkan rekod dalam pengendalian kontena sejak pengoperasian kedua-dua pelabuhan ini.
“MOT bersama semua agensi di bawahnya akan bersungguh-sungguh melakar banyak lagi kejayaan demi manfaat rakyat dan negara,” katanya.- Malaysiapost

