SEBUAH kilang kertas di Melaka yang merekodkan 30 kes positif Covid-19 dan mengarahkan 112 kontak rapat kes bekerja dikompaun RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Kesalahan itu didedahkan Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh setelah mendapat aduan daripada 10 pekerja kilang yang juga kontak rapat kes positif yang dikesan semalam.
“Hari ini saya dapat aduan sendiri daripada pekerja kilang bahawa majikan mereka tidak mematuhi arahan penutupan sementara operasi kilang selama tujuh hari sehingga 5 Januari depan.

“Majikan juga meminta semua kontak rapat (112 orang) daripada 30 kes positif bekerja hari ini dan hasil lawatan mengejut saya, pihak kilang mengakui melanggar arahan penutupan sementara dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan mengejut ke kilang berkenaan petang tadi.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata sehubungan itu, pihak kilang dikompaun RM1,000 di bawah Akta 342.
“Saya kesal kerana dalam keadaan kita sudah hampir dua tahun berdepan Covid-19, masih ada pihak industri mengambil sikap sambil lewa terutama dalam keadaan kita berdepan varian baharu Omicron yang lebih berbahaya.
“Jadi hari ini, saya meminta semua kontak rapat dipakaikan gelang kuarantin kecuali 28 pekerja pentadbiran yang tidak menjadi kontak rapat pekerja positif,” katanya.

Tegasnya lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak industri yang didapati sengaja melanggar Akta 342 dan akan memastikan mereka menerima hukuman paling berat kerana kesalahan membahayakan nyawa pekerja dan masyarakat. – Malaysiapost

