USAHAWAN kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri dijangkiti Covid-19 tahap tiga selepas pulang bercuti dari Turki dan kini dirawat di sebuah hospital.
Aliff, 34, dalam satu perkongsian di laman Instagramnya memaklumkan dia kini ditempatkan di hospital untuk rawatan rapi serta memohon orang ramai mendoakannya kembali pulih.
“Saya ditahan di wad kerana saya dijangkiti Covid-19 stage 3 melibatkan paru-paru saya ..saya ditempatkan di hospital untuk rawatan rapi.. doakan kalian amat saya hargai ketika ini.
“Kepada semua sahabat kenalan yang dikasihi atau sesiapa sahaja saya mengenali saya..saya memohon kemaafan sekiranya pernah menyakiti awak,” katanya yang turut memuat naik video ketika menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau memohon maaf kepada semua jika perkara tidak diingini berlaku terhadap dirinya.
“Maaf sekiranya pernah terkasar, maaf sekiranya pernah mengumpat, maaf sekiranya pernah termakan sengaja ataupun tidak.. sesungguhnya yang buruk itu datang daripada saya dan yang baik datang daripada Allah SWT.
“Rasa lega dah mohon maaf kat semua.. takut-takut umur saya tak panjang..doakan saya cepat sembuh. Saya akan merindui isteri @shahidadherbs, anak-anak dan ibu saya @bondarozitaibrahim,” katanya.

Perkongsian Aliff mendapat hampir 84,500 tanda suka dan lebih 5,000 komen daripada pengikutnya di Instagram yang rata-ratanya mendoakan agar beliau segera sembuh.
Aliff sekeluarga termasuk ibunya, Rozita Ibrahim bercuti ke Turki pada 15 Disember lalu dan pulang ke Malaysia, baru-baru ini.
Isterinya Datin Seri Nur Shahidah Mohd Rashid dan ahli keluarga yang lain kini dilaporkan menjalani kuarantin wajib di rumah. – Malaysiapost

