PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan atau BWI telah dilaksanakan kerajaan.
Menurut beliau, inisiatif itu juga termasuk di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan RM1.4 bilion.
Justeru, katanya, antara penambahbaikan BWI yang dilaksanakan adalah pertama RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah atau KIR yang terjejas akibat banjir.
“Kedua, menyalurkan kepada semua KIR yang terkesan termasuk mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan ketiga, RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia.
“Keempat, mangsa yang terjejas akibat banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa Monsun Timur Laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, menyedari mangsa banjir memerlukan wang tunai, kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI bermula pada 27 Disember dan dijangka selesai minggu ini.
“Bagaimanapun Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.
“Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak berkaitan agar mempermudah urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan setakat data terkini, lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI.
“Pihak NADMA telahpun menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri.
“Berhubung bayaran BWI untuk kematian pula, seramai 25 orang waris telahpun menerima bantuan RM10,000 seperti diumumkan,” katanya.- Malaysiapost

