Syafiq mahu bantu Kedah cabar kejuaraan

0
1

PENYERANG kebangsaan, Syafiq Ahmad mahu segera mendapatkan momentum serta keyakinan bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Bagi penyerang berusia 26 tahun yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, dia tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang buat pasukan dengan meletakkan sasaran angka jaringan tertentu.

Dalam masa sama, Syafiq mengakui tidak dapat menyembunyikan kegembiraan kerana dapat bermain semula dengan bekas pasukan yang ditinggalkan empat tahun lalu.

“Sememangnya saya bersyukur kerana dapat kembali ke Kedah malah kesungguhan ditunjukkan pengurusan, itu juga menjadi faktor saya kembali dan gembira kerana masih ada orang berminat dengan khidmat saya.

“Dalam masa sama, saya mahu mahu beri penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang sudi beri perkenan untuk saya ke Kedah selain berikan sokongan dari belakang tidak kira apa jua situasi saya.

“Penyokong Kedah juga memberi banyak kata-kata positif terhadap kehadiran semula di Kedah dan itu menjadi penambah motivasi buat saya.

“Mengenai angka jaringan, saya tidak mahu bercakap apa-apa kerana masih terlalu awal tetapi apa yang paling penting sebaik bersama Kedah, saya mahu kembali dapatkan momentum,” katanya kepada Malaysian Football League.

Memulakan karier di peringkat remaja bersama Kedah sejak tahun 2012, Syafiq mula diserapkan dalam pasukan senior pada musim 2015 sehingga 2017 sebelum berhijrah ke JDT.

Pada musim 2022, Syafiq kembali ke skuad Hijau Kuning sebagai status pemain pinjaman dengan misi utama adalah di pentas Piala AFC selain pemburuan kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia.

“Harapan saya dengan pasukan adalah mahu mencabar apa jua kejuaraan yang kita boleh berikan saingan pada musim depan namun apa paling penting ialah Piala AFC.

“Saya mahu membantu Kedah layak ke peringkat seterusnya di Piala AFC serta melangkah sejauh yang boleh kerana ini menjadi keutamaan buat saya sertai Kedah.

“Selain itu di Liga Super atau Piala Malaysia, kami akan cuba mendapatkan kejuaraan serta bagi saingan kepada semua pasukan,” katanya lagi. – Malaysiapost

Kredit Foto: kedahdarulamanfc.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here