KEPALA air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar menjadi punca banjir luar biasa melanda Hulu Langat, 19 Disember lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kepala air itu menghanyutkan longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga sampai Batu 14, Sungai Lui dan kawasan sekitarnya.
Menurutnya, ekoran itu 30 lokasi tanah runtuh berlaku dari kawasan simpang Perpas hingga Kuala Klawang.
“Yang pasti daripada maklumat yang diperolehi, saya tidak memaklumkan (punca disebabkan projek Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) ).
“Itu pandangan diterima dan saya akan rujuk kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab dikatakan beliau menyebut perkataan itu,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau mengulas berhubung banjir lumpur yang menenggelamkan beberapa lokasi di daerah Hulu Langat baru-baru ini dipercayai berpunca daripada EKVE selain faktor hujan lebat.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ketika bertemu beliau semalam, memaklumkan kadar penurunan hujan di Raub, Pahang pada 18 Disember lalu mencecah 800mm.
“Jadi Banjaran Titiwangsa telah menjadi penghadang dan selebihnya telah sampai ke Selangor seterusnya hujan dicatatkan di negeri ini antara 300 hingga 400mm.
“Justeru, takungan air di kawasan tersebut (pengunungan) telah mengalirkan di Hulu Langat sehingga menyebabkan banjir luar biasa dan sebahagian mengalirkan ke Kuala Langat serta turut melebatkan hujan yang besar di Klang yang merekodkan 400mm.
“Itu dimaklumkan dan saya tidak tahu mengenai lebuh raya (EKVE) itu tetapi (banjir) lumpur dan sebagainya perlu dirujuk daripada pakar,” katanya. -Malaysiapost

