DATUK Seri Najib Razak berkata semua pihak perlu meletakkan diri mereka dalam keadaan mangsa-mangsa banjir dan memahami sudut pandangan mereka.
Bekas Perdana Menteri itu yang turun menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda di Shah Alam berkata, semua pihak perlu faham, sedar, mendengar dan melihat apa yang dilalui kesemua yang terkesan akibat bencana besar itu.
“Saya perhatikan proses pembersihan amat diperlukan dan perlu disegerakan di sini untuk elak kemungkinan wabak tercetus.
“Harap pihak berkuasa tempatan dan kerajaan pusat akan memberi lebih tumpuan untuk segerakan proses pembersihan dan pemulihan.
“Selain itu, sistem wayar elektrik setiap rumah yang ditenggelamkan air banjir wajar diperiksa. Mungkin TNB boleh membantu dari aspek ini. Bantulah rakyat sebaik-baiknya,” katanya.
Najib berkata beliau menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir yang disumbangkan semasa bersama pelabur dalam World Chinese Economic Forum di ibu negara pagi tadi.
“Selesai sahaja majlis, saya aturkan sedikit bantuan yang disumbang di forum tersebut untuk dibawa kepada mangsa-mangsa banjir di Taman Sri Muda.
“Saya lihat anggota keselamatan, perkhidmatan awam dan sukarelawan banyak membantu di sini dan amat dihargai semua.
Rakyat menghadapi kesusahan.
“Ramai kini kerugian besar dan banyak mengalami kerosakan seperti barangan elektrik, elektronik, kereta, buku, makanan, barangan harian dan peribadi,” katanya. – Malaysiapost

