Nurul Azurin dipikat kelab India

0
1

PENJAGA gol skuad wanita kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan menyahut cabaran beraksi di luar negara apabila menerima tawaran bermain di India.

Gadis berusia 21 tahun itu bakal menyarung jersi kelab Misaka United FC yang berpangkalan di Bengaluru.

Kehadiran Nurul Azurin diumumkan kelab tersebut menerusi laman sosialnya termasuk satu video berdurasi satu minit 20 saat yang dimuatnaik di Instagram.

Pemain muda berasal dari Shah Alam itu berlepas ke India dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Rabu lalu.

Keberanian Nurul Azurin berhijrah ke luar negara turut mendapat perhatian Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).

Menerusi satu hantaran di Facebook, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail sempat mengucapkan selamat jalan dan selamat maju jaya buat Nurul Azurin di KLIA sebelum berlepas ke India.

“Selamat maju jaya buat Azurin! Doa kami rakyat Malaysia sentiasa bersama anda,” menurut hantaran itu.

Presiden PFAM, Safee Sali turut menghubungi Azurin menerusi panggilan video bagi memberi kata-kata semangat dan pastinya mendoakan yang terbaik buat Nurul Azurin dalam mengejar cita-citanya untuk mencari pengalaman berharga di luar negara.

Nurul Azurin, bekas pelajar Sekolah Sukan Sabah mula mewakili skuad senior wanita negara pada usia 16 tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here