Komitmen ATM bantu rakyat tiada batasan – Hishammuddin

0
1

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu rakyat yang terkesan akibat banjir tiada batasan.

Beliau berkata selain memindahkan mangsa banjir serta menghantar makanan dan barang keperluan, ATM turut mengatur gerak anggota untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Di Taman Sri Muda di Selangor, katanya kerja-kerja pembersihan dilaksanakan secara meluas oleh anggota dari Divisyen Keempat Infantri Malaysia.

“Sama-samalah kita hargai dan doakan semoga jasa baik setiap anggota ATM diberi ganjaran setimpal di sisi Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dalam hantaran berasingan, Hishammuddin memaklumkan ATM turut menghantar anggotanya bagi membantu mangsa banjir di Kuala Lipis dan Jerantut, Pahang.

Anggota tertera turut membantu membersihkan masjid yang terjejas akibat banjir. Foto Facebook Hishammuddin Hussein

Di Hulu Langat, katanya, anggota ATM turut membantu membersihkan masjid yang mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir.

“Tiada istilah cuti bagi ATM. Selagi belum selesai, selagi itulah mereka akan terus menyumbang tenaga demi membantu rakyat Selangor yang terjejas akibat banjir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here