‘Jangan jadikan PPS kedai runcit simpan stok barang’

0
2

PELAWAK terkenal, Achey pelik apabila mangsa banjir di kawasan yang telah diberi sumbangan masih lagi menghubunginya mendakwa belum menerima sebarang bantuan lagi.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 35, berkata ramai pengikut Instagramnya yang terjejas akibat banjir menghantar mesej mendakwa tidak menerima sebarang bantuan, sedangkan bantuan untuk mangsa banjir telah disalurkan ke kawasan itu.

“Apabila saya buka DM, kebanyakannya meminta saya untuk salurkan bantuan ke kawasan yang saya sudah sampaikan.

“Saya peliklah sebab selalunya kami akan menelefon dahulu orang di kawasan terlibat dan bertanya, apa keperluan yang diperlukan dan berapa jumlahnya.

“Rupa-rupanya ada di kalangan mangsa banjir tidak dibenarkan untuk mengambil barang bantuan kerana tidak berdaftar dengan PPS (Pusat Pemindahan Sementara) atau perlu melalu pelbagai prosedur yang ketat,” katanya dalam klip video di Instagram, hari ini.

Mengulas mengenainya, Achey berkata, dia kecewa apabila mengetahui hal itu dan menyifatkan tidak sepatutnya berlaku kepada mangsa banjir yang amat memerlukan bantuan ketika ini.

Katanya, sumbangan perlu dihantar segera kepada mangsa banjir dan jangan jadikan PPS seperti kedai runcit yang menyimpan stok barang.

Tambah Achey, apa yang merisaukannya ialah barangan berbentuk makanan akan basi dan tidak boleh dimakan apabila lambat dihantar kepada mangsa banjir.

“Ada tempat yang saya pergi sendiri, pihak petugas meminta kami drop barangan sumbangan dan mereka sendiri akan mengagihkannya kerana ingin menjaga SOP.

“Jadi saya kata tak mengapalah, cuma kami tidak berpuas hati jika barang itu tak sampai terus kepada mangsa,” katanya.

Tambah menyedihkan, Achey menjelaskan, dia datang semula ke PPS berkenaan pada sebelah malam dan mendapati barangan disumbangkan masih ada di situ.

“Saya pun beritahulah, yang benda ni perlu disampaikan segera kepada mangsa banjir kerana takut basi.

“Ada yang mengatakan mungkin mereka menunggu saya untuk bergambar dan agihkan. Pada saya perkara itu tidak penting, sumbangan perlu diagihkan segera kepada mangsa sebaik sahaja sampai,” katanya.

Justeru, Achey berharap kelemahan itu dapat diatasi segera kerana jumlah bantuan yang diterima di PPS juga agak banyak.

“Kita memang kena ikut SOP, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini. Cuma saya nak tekankan, permudahkanlah bantuan itu disalurkan kepada mereka yang sepatutnya menerima sumbangan.

“Pastikan semua dapat dan jangan ada yang tertinggal, sebab bantuan sekarang ni sudah banyak cuma sampai kepada mangsa atau tidak je. Ini bukan stok kedai runcit nak tahan tahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here