MANGSA banjir yang mendaftarkan pernikahan di Wilayah Persekutuan boleh memohon semula mendapatkan dokumen penting yang hilang atau rosak kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) secara percuma.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, pihaknya meminta Jawi membantu hal berkenaan dan ianya dipersetujui untuk diberikan secara percuma.
“Begitu juga dokumen Sijil Kursus Praperkahwinan kepada bakal pengantin yang dianjurkan Jawi di Wilayah Persekutuan, mangsa banjir boleh memohon semula sijil berkenaan secara percuma.
“Bagi mangsa banjir di kalangan graduan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga boleh memohon semula sijil atau diploma pengajian yang musnah akibat musibah banjir.
“Permohonan untuk mendapatkan semula dokumen ini tidak perlu secara tergesa-gesa dan boleh berurusan terus dengan agensi Jakim dan Jawi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Idris berkata, keputusan itu diharap dapat membantu meringankan bebanan mangsa banjir.
“Marilah sama-sama kita terus mendoakan agar mangsa banjir dan seluruh keluarga, anggota keselamatan, petugas barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak diberikan keselamatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan misi bantuan,” katanya. -Malaysiapost

