Dr Noor Hisham puas hati proses pemulihan di Bukit Changgang

0
1

PASUKAN Perubatan Kecemasan dan Pasukan Kesihatan Awam komited memastikan kawasan Labuhan Dagang, Bukit Changgang dan Bandar Seri Ehsan dapat dipulihkan dan dibersihkan dengan sebaiknya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan di kawasan berkenaan bersama komuniti setempat selain sukarelawan yang turut membantu.

“Pagi ini saya berkesempatan untuk meninjau operasi di lapangan bagi pasukan Perubatan Kecemasan dan juga Pasukan Kesihatan Awam di kawasan Labuhan Dagang, Bukit Changgang dan Bandar Seri Ehsan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meninjau operasi di lapangan bagi pasukan Perubatan Kecemasan dan juga Pasukan Kesihatan Awam di kawasan Labuhan Dagang, Bukit Changgang dan Bandar Seri Ehsan.

“Ketiga-tiga kawasan ini telah terjejas akibat banjir yang melanda. Komuniti di sini telah terputus hubungan kerana banjir dan pada mulanya telah mengakibatkan tiada akses jalan raya, air bersih, sanitasi, bekalan tenaga elektrik dan juga komunikasi.

“Kini keadaan beransur pulih di mana kebanyakan kawasan telah boleh diakses dan sumber air bersih, tenaga elektrik serta komunikasi telah pulih semula,” katanya di Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Pasukan Perubatan Kecemasan yang dianggotai oleh petugas daripada Jabatan Kecemasan akan menjalankan penilaian risiko dan keperluan di lapangan bencana.

“Telah mengenal pasti beberapa kawasan yang memerlukan bantuan Perubatan segera, manakala Pasukan Kesihatan Awam yang dianggotai oleh petugas dari Klinik Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah terus komited memberi perkhidmatan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih terus beroperasi di sekitar kawasan ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan, kepentingan peranan pemimpin tempatan terutamanya Ketua Kampung untuk menggembeling tenaga masyarakat dan memastikan keadaan teratur.

“Ini penting kerana PPS masih lagi dibuka dan bantuan makanan serta perubatan masih perlu terus diberikan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here