Annuar Musa tak jadi bercuti

0
1

TAN Sri Annuar Musa mengakui beliau sepatutnya bercuti bermula daripada 18 Disember 2021 hingga 12 Januari 2022.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu tidak tergamak menghabiskan cuti tahunannya ketika mangsa banjir di beberapa kawasan Lembah Klang dan Pahang masih perlu dibantu dan diberi perhatian sewajarnya.

Menurutnya, cuti yang telah dipohon dan diluluskan tiga bulan lalu itu tidak diteruskan susulan bencana alam yang menimpa sebahagian negeri baru-baru ini.

“Sepatutnya 19 Disember saya dah berlepas untuk bercuti, tetapi saya rasa tak sedap hati dan membatalkan rancangan itu.

“Kejadian banjir yang berlaku membuatkan saya terus turun padang atas kapasiti peribadi untuk membantu mangsa terkesan,” katanya ketika menyertai Program Menyantuni Mangsa Banjir anjuran A Aida Production Sdn Bhd di sekitar Janda Baik, Pahang, hari ini.

Mengulas mengenai arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menteri menamatkan cuti mereka, Annuar berkata, tindakan itu boleh diambil tanpa menunggu arahan pemimpin nombor satu negara itu.

Katanya, ketika ini, seramai lapan menteri Kabinet yang cuti mereka telah diluluskan termasuk dirinya.

Ahli Parlimen Ketereh itu menjelaskan, sepanjang tempoh bercuti, tugas setiap anggota Kabinet perlu diambil alih menteri lain.

“Saya sendiri diganti oleh Datuk Seri Shahidan Kassim,” katanya sambil menambah tidak salah untuk menteri Kabinet bercuti.

Pada masa sama Annuar berkata, mesyuarat Kabinet minggu depan akan memberi tumpuan kepada aspek pemulihan bencana banjir, selain meningkatkan koordinasi operasi bantuan kepada mangsa. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here