YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, mencemar duli berangkat menyantuni mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.
Al-Sultan Abdullah turut ditemani Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan anakanda baginda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Menurut Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda tiba di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam kira-kira jam 10 pagi, menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di situ.
“Al Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan bantuan berbentuk barang keperluan harian dan sumbangan wang tunai kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut.
“Kemudian, rombongan Yang di Pertuan Agong berangkat meluangkan masa meninjau kawasan perumahan di Taman Sri Muda yang terjejas teruk akibat bencana banjir 18 Disember lalu,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menziarahi beberapa rumah mangsa banjir di kawasan perumahan tersebut dan meluangkan masa menyantuni bersama keluarga-keluarga yang terkesan akibat banjir tersebut.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mereka.” katanya.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat melawat Masjid Taman Sri Muda untuk meninjau kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Turut menyertai rombongan baginda tadi ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Aminuddin Hassim. – Malaysiapost

