Perit dilanda 2 kali bah dalam setahun

0
2

TAHUN 2021 meninggalkan kesan pahit kepada beberapa penduduk kampung di sekitar Temerloh susulan dilanda dua kali bencana banjir.

Bagi Hashim Jalil, 58, banjir yang berlaku pada 19 Disember lalu menjadi kenangan pahit buatnya sekeluarga kerana baru menarik nafas kelegaan selepas pulih daripada banjir sebelumnya, namun diduga banjir buat kali kedua tahun ini

Hashim Jalil, 58

Katanya, dia dan keluarga bru mula bangkit daripada bencana banjir pada awal Januari lalu, ditambah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan tahun ini.

Menurutnya, kini dia terpaksa ‘bertatih’ semula untuk meneruskan kehidupan.

“Saya hanya bekerja kampung, bukannya berkemampuan nak membeli selalu menggantikan barang rumah yang rosak. Yang banjir dulu pun baru nak lega, beli sedikit demi sedikit barang rumah. Saya ni anak tujuh orang.

“Mujur kali ini, dapat selamatkan televisyen dan beberapa barang kecil lain seperti pakaian. Tapi satu daripada motosikal tak dapat diselamatkan,” katanya yang ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah, Temerloh, hari ini.

Hashim bagaimanapun tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya yang menetap di Kampung Baru Pangsa Enam, Temerloh selamat.

Dalam kejadian banjir terbaharu itu, dia dan semua ahli keluarganya bertindak meninggalkan rumah setelah paras air mencecah lutut.

“Kita selamatkan apa yang patut, bawa semua anak, isteri dengan motosikal ke PPS ini. Saya takut air cepat naik.

“Saya tetap reda dengan ujian Allah ini. Biar hilang harta benda, tapi jangan nyawa ahli keluarga kita yang hilang. Saya tetap bersyukur.

“Setakat ni bantuan kerajaan semua ok. Nak kata tak puas hati pun tak juga, baik ada daripada tak ada. Saya berterima kasih dengan bantuan yang diberikan setakat ini,” katanya yang menganggarkan kerugian dialami melebihi RM7,000.

Seorang lagi mangsa, Faezah Kamaruddin, 39, yang kini mengandung tiga bulan, bersyukur kerana kerugian yang dialami pada banjir kali ini tidak seteruk banjir pada Januari lalu.

Faezah Kamaruddin, 39

Dia yang menetap di Kampung Tok Pulau, Temerloh terpaksa mengharungi kejadian banjir tanpa suami di sisi kerana suaminya bekerja di Johor Bahru.

“Banjir kali ni saya sempat memindahkan barang berharga ke atas siling rumah, kalau dulu tak sempat sebab ketika itu saya di luar. Jadi kerugian tu kurang lah walaupun makan ribu juga.

“Paras air dalam rumah saya paras pinggang, di luar kereta masih boleh lalu lagi. Jadi tak tunggu lama saya bawa lima anak saya serta bapa tinggalkan rumah terus ke PPS ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here