KES positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir susulan bencana yang melanda beberapa negeri sejak Sabtu lalu dilaporkan meningkat dengan 405 kes direkodkan setakat hari ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15 kes berbanding 390 kes yang dilaporkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun setakat jam 3 petang hari ini, tiada kes baharu yang dilaporkan membabitkan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir.
“Jumlah PPS yang masih beroperasi adalah 363 PPS membabitkan tujuh negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, WP Kuala Lumpur, dan Melaka
“Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir adalah 53,696 orang dan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir sebanyak 405 kes, manakala tiada kes baharu positif Covid-19 dikesan di PPS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, menurutnya kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir juga meningkat daripada 180 kes semalam, kini meningkat kepada 324 kes hari ini.
“Bilangan kes yang dilaporkan adalah jangkitan saluran pernafasan Akut (ARI) iaitu 148 kes: penyakit kulit dengan 93 kes; Acute Gastroenteritis (AGE) 75 kes dan konjunktivitis lapan kes,” katanya. – Malaysiapost

