Kanak-kanak ditemui lemah ketika banjir tiada isu kelewatan KKM 

0
1

KEADAAN kesihatan seorang kanak-kanak berusia setahun 11 bulan yang ditemui lemah dan muntah-muntah susulan bencana banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam semalam, menunjukkan perkembangan positif dan semakin pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kanak-kanak terbabit kini diberikan rawatan lanjut sebagai pesakit dalam di wad kanak-kanak Kompleks Ibu dan Bayi (KRIBA) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. 

Menerangkan mengenai kejadian itu, beliau memaklumkan ia bermula dengan abang kanak-kanak itu yang berusia 15 tahun dan kakaknya 8 tahun yang mengalami gejala muntah-muntah pada 21 Disember 2021 dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

“Pada 22 Disember 2021, kanak-kanak tersebut mulai muntah pada jam 8.30 malam, kemudian kelihatan letih dan kurang aktif.

“Ayahnya telah menghubungi 999 pada jam 10 malam untuk meminta bantuan kecemasan, seterusnya mereka sekeluarga telah dibawa ke klinik medan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Taman Sri Muda pada jam 10.30 malam pada hari sama. 

“Kanak-kanak tersebut kemudiannya dihantar ke HTAR bagi rawatan susulan, manakala abang dan kakaknya diberi rawatan pesakit luar di klinik medan KKM dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada mulanya, kanak-kanak tersebut diletakkan di triage merah kerana mengalami dehidrasi lima peratus, namun bacaan utama tahap kesihatan secara keseluruhan adalah memuaskan dan kemudian dipindahkan ke Zon Kuning serta diberikan rawatan cecair intravena (IV). 

“Diagnosa definitif adalah ‘Acute Gastroenteritis (AGE)’ dengan lima peratus dehidrasi.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian AGE dalam keluarga ini berpunca daripada bahan mentah makanan yang rosak dan faktor kebersihan yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada isu kelewatan respon kesihatan yang berlaku berkaitan isu membabitkan kanak-kanak berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here