Banjir: ‘Jangan sewenang lempar cacian terhadap anggota penyelamat’ – Bomba

0
1

“CUKUP sedih bila ada yang sewenangnya melemparkan tohmahan dan cacian kepada kami hanya kerana geram kami lambat tiba atau langsung tidak kunjung tiba di tempat anda.

Demikian luahan Pegawai Operasi Zon 4 Selangor (Hulu Langat) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Akmal Mohamad Khairi.

Beliau menerusi hantaran di Facebook, berkongsikan keadaan sebenar yang dialami setiap anggota penyelamat susulan dikecam netizen kerana didakwa lambat bertindak menyelamatkan mangsa banjir.

“Kami bertugas di balai, keanggotaan setiap balai adalah anggaran tujuh hingga 12 orang bagi setiap shif. Bila ada panggilan kecemasan banjir, kami semua akan bergegas ke lokasi panggilan yang pertama dahulu.

“Bila berlakunya bencana, panggilan kecemasan yang masuk kebiasaannya akan bertalu-talu dan tanpa henti. Tak termasuk lagi panggilan direct ke handphone anggota dan pegawai. Persoalannya, bagaimana kami nak hadir 10 tempat berbeza dalam masa yang sama?

“Wahai saudara, bilangan kami terhad, aset kami terhad. Satu pasukan penyelamat terpaksa respon berpuluh malahan beratus panggilan. Dalam masa itu, kami akan utamakan kes yang boleh kami respon bergantung kepada tahap bahaya dan risiko yang bakal kami hadapi,” katanya.

Menurutnya, anggota dan pegawai bertugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan.

“Amalan kami sama seperti agensi lain, iaitu safety first. Kami bukan boleh sebarangan melakukan tugas menyelamat tanpa ambil kira soal risiko pada diri sendiri mahupun rakan sepasukan.

“Bagaimanapun, kami sedaya upaya membantu mengeluarkan mangsa banjir.. dengan segala apa yang kami ada. Kalau tiada bot, kami guna sampan. Kalau tiada sampan, kami sanggup dukung dan pikul mangsa sehingga ke tempat selamat.

“Kami tiada masa untuk merakam video atau mengambil gambar ketika bekerja kerana kami sememangnya tiada masa untuk berbuat demikian,” katanya.

Menurut Mohamad Akmal, bencana yang berlaku ada kalanya sangat luar biasa hingga membataskan anggota melakukan kerja menyelamat mangsa ditambah lagi dengan kekangan ketika bertugas.

“Jadi, ketika itu, masa dan peluang adalah amat terhad untuk kami bertindak. Namun apakan daya, kami tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang,” katanya.

Beliau berkata, apabila berlakunya bencana, tugas selaku pegawai kanan sedikit berbeza dengan anggota kerana tiada syif.

Katanya, pegawai juga perlu bertugas merancang, mengkoordinasi dan mengawal tindakan operasi sehingga mengorbankan waktu rehat demi memastikan keadaan selesai dan selamat

“Berbalik kepada anggota yang bekerja 12 jam sehari mengikut shif, apabila berlakunya bencana, kami tidak tamatkan shif kami dengan balik tepat pada masa.

“Kami sanggup bekerja lebih masa tanpa mendapat apa-apa bayaran overtime demi keselamatan nyawa dan harta-benda anda. Kadang kala, memakan masa hingga lebih 48 jam lamanya.

“Kami terpaksa melupakan waktu rehat, saat bersama anak dan isteri serta penat jerih di pejabat kerana kami tahu, tugas kami masih belum berakhir.

“Namun, apabila kami muncul membantu, tiada langsung sikap menghargai walau dengan ucapan terima kasih. Ada lebih teruk, pengorbanan kami dibalas dengan cercaan lambat, lembab, makan gaji buta dan macam-macam lagi.

“Fahamilah kami juga, kami juga manusia. Kami juga ada keluarga, batas kemampuan juga hati dan perasaan. Fikirlah dahulu sebelum berkata-kata,” katanya.

Beliau turut berkongsikan tragedi pemergian enam anggota bomba akibat lemas ketika melakukan kerja menyelamat pada 2018, masih meninggalkan kesan mendalam buat semua sehingga kini.

“Enam sahabat seperjuangan kami pergi meninggalkan kami serentak. Hanya Allah yang tahu hati kami,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here