Korban banjir terus meningkat kepada 17

0
1

ANGKA korban mangsa banjir di seluruh negara meningkat kepada 17 orang, setakat pagi ini. 

Selangor merekodkan kematian paling tinggi mangsa banjir iaitu 11 orang, manakala 6 nyawa terkorban di Pahang 

Memetik laporan Astro Awani, sehingga tengah malam tadi, korban banjir di Selangor direkodkan iaitu lapan di Taman Sri Muda, Shah Alam dan dua lagi mangsa dipercayai lemas dalam kejadian berasingan di Dengkil. 

Sementara itu, satu lagi kes maut membabitkan seorang lelaki dipercayai pemandu treler yang ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor, Ahad lalu.

Korban banjir di Pahang melibatkan seorang operator kilang, M.Gunalan, 38, yang telah ditemui maut pada jam 2.22 petang Jumaat lalu kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat terjatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.

Korban kedua di Pahang direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi Ahad, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.

Manakala tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.

Mayat lelaki ditemukan pada jam 1 tengah hari manakala mayat tiga wanita ditemukan pada jam 1.20 tengah hari, jam 2 petang dan jam 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.

Sejak lapan negeri dilanda banjir minggu lalu, seramai 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat penempatan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here