Tumpu bantuan makanan, minuman mangsa banjir – Asyraf Wajdi

0
1

PEMUDA Barisan Nasional (BN) memberi fokus pengedaran bantuan makanan dan minuman kepada mangsa banjir terutama di kawasan terjejas teruk di Selangor sejak semalam.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tumpuan kini diberikan di kawasan Shah Alam dan Kota Raja terutama Taman Sri Muda.

“Saya dimaklumkan oleh sahabat saya Sheikh Weshal Ketua Pemuda BN Kota Raja bahawa di sebelah Shah Alam dan Kota Raja kawasan yang paling teruk terjejas dan mangsa terkandas adalah Taman Sri Muda kerana penduduknya sahaja ada hampir 30,000.

“Walaupun Pemuda BN sendiri menyediakan tiga bot untuk proses penghantaran bantuan makanan dan pemindahan, manakala badan bukan kerajaan (NGO) lain dengan hampir 60 hingga 70 bot, namun masih tidak mencukupi.

“Jentera kerajaan seperti bomba dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pun hanya petang kelmarin sampai. Itupun tak mencukupi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Pemuda BN dan Skuad Sabil Kota Raja sejak semalam masih lagi fokus untuk bantuan penghantaran makanan dan minuman.

“Malah Mereka selesai ulang-alik bantuan pukul 4 pagi tadi.

“Bagi yang nak membantu amat dialu-alukan. Lebih ramai yang membantu termasuk NGO dan orang perseorangan lebih bermakna dan berkesan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, antara barangan yang diperlukan bagi membantu mangsa banjir adalah makanan yang siap dimasak, makanan segera dan air minuman.

“Selain itu barangan keperluan lain adalah seperti lampin pakai buang dan susu kanak-kanak, lilin serta peralatan mandian dan tuala wanita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here