19 diselamatkan dalam 2 kejadian tanah runtuh

0
1

LIMA kanak-kanak antara 19 mangsa yang berjaya diselamatkan pagi tadi dalam insiden tanah runtuh di Jalan Genting Peras di Kuala Klawang, Hulu Langat, Selangor.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd Asri Tak, berkata dua panggilan diterima melibatkan dua lokasi berbeza membabitkan kejadian tanah runtuh.

Menurutnya, kes pertama, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.32 petang semalam dan mangsa dijumpai pada jam 1.34 pagi tadi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun terperangkap dan salah seorangnya mengalami kecederaan di kaki.

“Mangsa cedera di pergelangan kaki kerana dihempap pokok tumbang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Asri berkata, pihaknya kemudian turut mendapat maklumat satu keluarga terperangkap di lokasi berbeza dalam insiden tanah runtuh itu.

“Anggota kemudian diarahkan bergerak ke kawasan itu dan pada jam 7.40 pagi tadi, seramai 17 mangsa dapat diselamatkan dan dibawa ke tempat selamat.

“Pada jam 12.52 tengah hari, semua mangsa telah berjaya dibawa ke tempat selamat dan mereka juga sudah diberikan bantuan awal pada jam 10.10 pagi,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kes melibatkan lokasi kedua itu.

“Jarak mangsa dengan pusat kawalan adalah sejauh 6 kilometer (km) dan semuanya ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya. – Malaysiapost

Foto kredit : JBPM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here