PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak terkecuali turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir yang berlaku sejak semalam
Beberapa perkongsian menerusi Insta Story ibu dua cahaya mata itu memberitahu terkejut dan kehilangan kata-kata melihat situasi banjir besar yang berlaku terutama di Lembah Klang ketika ini.
“Ya Allah, saya tak terkata. Semoga Allah permudahkan dan lindungi mangsa-mangsa banjir.
“Gemuruh melihat betapa tingginya air banjir ini. Saya doakan semua selamat,” katanya dalam video yang dimuat naik.
Dalam hantaran berbeza, penyanyi 7 Nasihat itu bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K dilihat sedang berusaha mengumpulkan barangan keperluan yang akan diedarkan kepada mangsa banjir.
“Menerusi platform Tabung Bantuan Khas Palestin & Covid 19 yang dilancarkan sebelum ini, kami juga mengalu-alukan jika ada yang ingin turut serta memberikan sumbangan bagi mangsa banjir.
“Kita usaha apa yang terbaik dan termampu, saya juga akan meminta pihak Kita Fund untuk membuat tambahan objektif tabung tersebut kepada bantuan bencana alam.
“Terima kasih kepada pihak pasar raya kerana telah berusaha menyiapkan bungkusan makanan untuk diagihkan. Yayasan Nurjiwa kini giat untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir seperti di Shah Alam,” katanya lagi.
Beberapa kawasan-kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir sejak semalam dengan Selangor menerima kesan terburuk selepas lebih 9,000 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat ini. – Malaysiapost

