Isu berbangkit mangsa banjir diselesaikan hari ini – PM

0
1

KERAJAAN akan menyelesaikan beberapa isu berbangkit membabitkan situasi banjir terutama di Selangor yang dilihat kurang persediaan susulan bencana itu sejak semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berdasarkan tinjauannya di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Klang, hari ini beberapa isu utama dikesan.

“Mesyuarat Khas bagi menangani isu berkaitan banjir hari ini membincangkan beberapa isu berbangkit.

“Dari segi mangsa yang terperangkap di rumah dan sebagainya seperti dilaporkan di media sosial telah selesai dan tiada lagi, cuma ada yang terperangkap dalam kereta dan ditempat lain dan tindakan sedang dilaksanakan untuk memindahkan mereka,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, di PPS pula kerajaan telah bersetuju supaya semua isu yang berbangkit seperti ketiadaan makanan akan diselesaikan semuanya.

“Sebagai contoh makan malam dab sarapan pagi esok akan disediakan oleh kerajaan negeri Selangor dan makan tengah hari esok akan disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jadi dari segi makanan kira sudah selesai kerana ini perkara besar.

“Yang kedua dari segi tempat tidur mereka. Sekarang ini kita faham tidur atas lantai simen dan sebagainya dan kita sudah dapatkan komitmen daripada JKM. Mereka akan menyediakan tempat tinggal dengan selimut, tilam dan sebagainya. Isu ini saya minta diselesaikan hari ini juga,” katanya.

Beliau berkata, tandas juga akan ditambah di semua PPS seluruh negara dengan tandas mudah alih kerana tandas di PPS seperti di sekolah memang tidak mencukupi.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan menyediakan beberapa perkara penting di PPS seluruh negeri yang terjejas banjir.

“Ada PPS yang tiada pasukan perubatan dan kerajaan setuju untuk menyediakan pasukan perubatan di setiap PPS dengan ubatan, pelitup muka dan paling penting akan buat ujian saringan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Twitter/@drabdlatiff

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here