Program jualan Keluarga Malaysia ‘legakan’ pengguna Selangor

0
1

PROGRAM Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diteruskan untuk merancakkan pemulihan dan pertumbuhan semula ekonomi domestik negara serta melegakan cabaran perbelanjaan isi rumah khususnya bagi rakyat Selangor yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, berkata PJKM dilaksanakan dengan skala yang lebih besar melibatkan 20 kawasan Parlimen secara serentak bermula hari ini dan esok.

Katanya, pelaksanaan PJKM selama dua hari itu bermula dari jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari.

“Pelaksanaan PJKM yang dikendalikan KPDNHEP Selangor ini sebagai mendukung inisiatif Kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat, dan dalam konteks PJKM Selangor mensasarkan kumpulan rakyat Selangor dalam kalangan berpendapatan rendah.

“KPDNHEP Selangor menjalinkan kerjasama lebih rapi dengan agensi kerajaan dan rakan strategik industri bagi memastikan setiap pihak mainkan peranan bagi menyediakan keberadaan bekalan dan tawaran harga yang seiring dengan objektif PJKM ini tanpa menggangu situasi sedia ada di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, antara barang-barang keperluan yang dijual semasa program tersebut ialah ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses.

Mengulas lanjut, beliau berkata, harapan pihaknya agar pelaksanaan PJKM Selangor dapat melegakan pengguna di Selangor dan peniaga masih kekal beretika dengan pematuhan tanda harga yang jelas manakala pengguna mengetahui tanggungjawab dan hak mereka dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

Jelasnya, pengguna di Selangor disarankan mempraktikkan amalan Bijak Adu seiring dengan hasrat KPDNHEP negeri untuk mewujudkan Pengguna Bijak Selangor dengan mengemukakan butiran aduan lengkap dan spesifik berhubung salah laku peniaga di sekitar Selangor.

“Menerusi saluran aduan rasmi Aplikasi Whatsapp di talian 019-279 4317 / hubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor 03 – 5514 4393 5518 1810/ 5512 5485,” katanya.

PJKM telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember lalu di Lembai Pantai, Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here