Presiden tidak pernah bangun meninggalkan mesyuarat MKT – Shahril

0
2

KETUA Penerangan Umno Shahril Hamdan membidas laporan sebuah portal yang tidak berasas terhadap Umno terutamanya ‘menyerang’ Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Shahril berkata, lumrah musuh politik ketika ini yang mahu melihat Umno lemah dengan sengaja menyebarkan berita palsu untuk memecah-belah perpaduan parti.

“Ini lumrah politik masa kini. Pihak yang berkepentingan ingin melihat Umno lemah, semakin giat menyebarkan maklumat yang palsu, atau sengaja ditokok tambah sehingga mengundang spekulasi dengan harapan ia membawa kepada percakaran antara individu atau kelompok dalam Umno.

“Mutakhir ini, ada portal yang begitu giat dalam jangka masa beberapa hari mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang seakan cuba mencapai matlamat di atas,” katanya di Facebook hari ini.

Mengulas mengenai laporan portal tersebut, Shahril tampil mempertahankan Ahmad Zahid yang didakwa meninggalkan mesyuarat Majlis Tertinggi Kerja Umno (MKT) dalam keadaan marah baru-baru ini.

“Presiden tidak pernah bangun meninggalkan mesyuarat MKT, apatah dalam keadaan marah. Saya sudah menyaksikan berkali-kali, Presiden sentiasa terbuka dan tenang mendengar pelbagai pandangan dalam mesyuarat termasuk pandangan yang mungkin tidak sepenuhnya selari dengan beliau.

“Jadi tak timbul beliau akan sekali-kali bangun marah meninggalkan mesyuarat.

Presiden tidak pernah bangun meninggalkan mesyuarat MKT. Tiada pergaduhan dalam mesyuarat MKT, malah baru-baru ini berlangsung dengan mesra dan tenang.

“Presiden dan Perdana Menteri kerap berjumpa dan berbincang termasuk di luar mesyuarat MKT. Timbalan Presiden juga terbabit dalam pelbagai perbincangan dan diberi kepercayaan memimpin jentera pilihan raya, antara tugas paling penting dalam mana-mana parti,” katanya.

Sharil juga menyangkal Ahmad Zahid marah kerana cadangan Umno mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) awal ditolak MKT.

“Naratif cadangan PRU awal ditolak membawa kepada Presiden bangun meninggalkan mesyuarat itu pun tidak logik kerana isu tidak dibincangkan sehingga ada soal tolak atau terima.

“Sebaliknya, di peringkat MKT, kepercayaan diberikan kepada kepimpinan tertinggi parti terutamanya Presiden, timbalan dan ketiga-tiga naib untuk mencari kesepakatan dalam hal-hal ini tanpa perlu menghebahkan kepada umum.

“Seperti mana Presiden pernah berkata dalam ucapan terbuka, ‘jika semua strategi parti diumumkan, maka ia bukan lagi strategi’,” katanya.

Mengulas mengenai terdapat usul daripada sayap atau Bahagian Umno kononnya mempermainkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau mencerminkan mempunyai agenda tersirat, Shahril berkata, ia satu dakwaan berat tanpa asas.

“Setiap bahagian berhak membawa usul dan cadangan demi kepentingan parti. Usul dan cadangannya berbeza dan ada kalanya mungkin bercanggah antara satu bahagian dengan bahagian lain.

“Itulah hak akar umbi dan kepimpinan di setiap bahagian, kerana semuanya ada sudut pandang sendiri tetapi berkongsi matlamat mahu melihat parti menang.

“Akhirnya, setelah mengambil kira suara di peringkat bahagian, apa-apa keputusan besar akan diputuskan di MKT atau di PAU (Perhimpunan Agung Umno),” jelasnya.

Shahril menambah, dalam tempoh persidangan bahagian-bahagian yang masih berlangsung, mana mungkin mengesahkan suatu kesimpulan menyeluruh tentang usul atau cadangan utama yang diutarakan.

“Apatah lagi, kita sedia maklum kadang-kala tempoh menghantar dokumen setelah persidangan juga mengambil masa panjang.

“Sepertimana yang dihurai tadi, tidak perlu ambil tafsiran sensasi yang cuba dijaja oleh pihak dan portal tertentu berkenaan sesuatu usul atau cadangan.

“Seolah-olah jika usul A, maka ia serangan kepada Presiden. Atau jika usul B, seolah-olah ia serangan kepada PM. Sedangkan, bagi mereka yang hatinya ikhlas, usul bukan apa-apa serangan atau mainan politik tetapi ialah suara ahli yang mahu perkara terbaik untuk parti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here