3,582 mangsa banjir dipindahkan di Selangor

0
2

SEBANYAK 46 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan lima daerah telah dibuka di Selangor bagi menempatkan 3,582 mangsa banjir setakat jam 5 petang tadi.

Ia melibatkan daerah Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan taburan hujan telah mencecah 380 milimeter (mm), lebih dua kali ganda taburan hujan tertinggi dicatat sebelum ini, iaitu kira-kira 180mm.

“Secara kebiasaannya, paras air akan mencapai kira-kira 60mm. Tambahan itu, air pasang di kawasan-kawasan terlibat mencecah sehingga 4.5 meter,” katanya menerusi kenyataan lewat petang ini.

Sementara itu Amirudin berkata semua PPS akan dilengkapi keperluan asas seperti pakaian, makanan, hand sanitiser, pelitup muka serta cubicle (bilik kecil) bagi melindungi keperibadian keluarga masing-masing.

“Memandangkan kita masih bergelut dengan penularan wabak, semua mangsa akan melalui saringan Covid-19 secara berkala dan percuma. PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif Covid-19.

“Aset-aset kerajaan negeri serta agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Angkatan Tentera Malaysia akan dikerah, khususnya kenderaan redah banjir bagi tujuan pemindahan mangsa serta pengagihan barang keperluan asas.

“Saya telah mengarahkan supaya pihak Air Selangor menyediakan tangki air bergerak untuk ditempatkan di PPS yang beroperasi untuk kegunaan penduduk dipindahkan sementara,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri akan menggerakkan pasukan sukarelawan Team Selangor dan SERVE bagi membantu proses menempatkan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal serta proses pembersihan yang akan bermula selepas air pasang mula surut.

Katanya, sebanyak 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang yang menyebabkan tidak selamat untuk dibuka bagi mengelak air melimpah keluar ke kawasan perumahan penduduk berdekatan.

“Tambahan kepada itu, sebanyak 93 pam beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir yang sedang berlaku di lima daerah di Selangor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here