Isham Jalil
TERDAPAT segelintir pemimpin UMNO pro-PPBM (Bersatu) yang mahu UMNO membuat pemilihan parti dahulu sebelum pilihanraya umum diadakan. Saya tidak bersetuju dengan saranan ini.
Adat Melayu mengajar kita mengikut tertib, dan jangan dilangkah bendul, nanti kaki tersadung dan tersungkur.
Tertib yang baik dan menjadi amalan dalam UMNO sebelum ini adalah jika jarak pilihanraya umum dan pemilihan UMNO itu tidak jauh, adalah lebih elok kita menghadapi pilihanraya umum dahulu sebelum pemilihan UMNO dibuat, dan bukan sebaliknya.
Jika kita tunggu sehingga 2023 untuk buat pilihanraya, maka maknanya kita perlu buat pemilihan UMNO dahulu pada November 2022 sebelum pilihanraya umum diadakan enam atau tujuh bulan selepas itu. Langkah bendul yang tidak mengikut tertib ini akan merugikan kita.
Kerana jika kita buat pemilihan UMNO dahulu sebelum pilihanraya, akan ada keretakan dan perpecahan yang tidak akan sempat sembuh sebelum pilihanraya.
Ini akan memberi kesan negatif kepada kesiapsiagaan kita untuk menghadapi pilihanraya umum.
Untuk berhadapan dengan pilihanraya umum, UMNO tidak boleh mengambil risiko perpecahan dalaman yang akan terjadi apabila pemilihan UMNO dibuat sebelum pilihanraya, terutama jika ada agenda untuk sesetengah pihak menggunakan jawatan, sumber dan kuasa mereka dalam kerajaan untuk merampas kuasa dalam UMNO sebelum pilihanraya umum.
Lebih-lebih lagi jika pihak-pihak ini ditaja oleh PPBM dan menyokong pengkhianat-pengkhianat UMNO daripada PPBM.
Pilihanraya tidak semestinya dibuat tahun ini, ia boleh dibuat tahun depan apabila Undi 18 berkuatkuasa dan sebelum pemilihan UMNO dibuat pada bulan November 2022.
Dalam pada itu menteri-menteri yang ada perlu berusaha dengan gigih untuk meredakan wabak COVID-19, dengan itu juga membolehkan pilihanraya diadakan. Atau mereka perlu mencari jalan bagaimana pilihanraya boleh diadakan semasa fasa pemulihan wabak ini.
Contohnya dengan membuka lebih banyak ruang untuk pengundian secara undi pos, undi awal, waima undi dalam talian jika difikirkan boleh dan perlu.
Di Amerika Syarikat semasa pilihanraya Presiden tahun 2020 tahun lepas, kebanyakan daripada 50 negeri di Amerika telah membenarkan pengundi mengundi dari rumah secara pos. Kesannya 42 peratus atau 65.6 juta undi daripada 155.5 juta pengundi telah mengundi secara pos.
Walaupun pihak yang kalah iaitu Donald Trump mendakwa kekalahannya adalah kerana undi palsu (voters fraud) dalam undi pos, namun Mahkamah di Amerika dan siasatan FBI telah mendapati ini adalah tidak benar dan ia hanyalah propaganda pihak kalah.
Hakikatnya, kejadian pemalsuan undi pos seperti kes di Amerika adalah terpencil dan tidak signifikan.
Satu kajian oleh Brennan Center of Justice, satu pertubuhan berkecuali dan bukan untuk keuntungan, mendapati bahawa daripada berpuluh juta undi pos yang dihantar, hanya kurang dari seribu undi yang palsu iaitu kurang dari 0.001%, iaitu lebih kurang sama kebarangkaliannya dengan undi biasa di peti undi.
Kita sudahpun ada sistem undi pos ini walaupun terhad. Oleh itu, jika di Amerika yang mana jumlah pengundi mereka adalah 10 kali ganda lebih besar dan kawasan yang berpuluh kali ganda lebih luas daripada Malaysia pun boleh buat undi pos dengan skala yang besar, mengapa kita tidak boleh?
Tambahan lagi, kajian mendapati bahawa undi pos yang lebih terbuka akan meningkatkan kadar mengundi, yang mana tanpa undi pos ini kadar keluar mengundi akan menjadi rendah terutama dalam keadaan wabak mahupun selepas wabak reda.
Undi pos juga akan memudahkan lebih ramai pengundi terutama pengundi-pengundi Melayu dan pengundi-pengundi muda untuk mengundi di mana sebelum-sebelum ini kadar keluar mengundi Melayu dan orang muda adalah lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dan berbanding pengundi yang lebih tua.
Satu lagi cara yang boleh dibuat oleh kerajaan adalah dengan menjarakkan masa mengundi dalam satu hari atau beberapa hari dengan membuat temujanji awal mengikut waktu tertentu untuk mengundi.
Ini boleh memudahkan pengundi untuk mematuhi SOP dan membuat penjarakan sosial iaitu apabila mereka tidak perlu bersesak-sesak di pusat pengundi pada hari pengundian seperti yang berlaku apabila mereka perlu mengundi dalam tempoh sehari pada masa yang terhad seperti sebelum ini.
Jika sehingga kini hampir semua rakyat Malaysia yang dewasa mempunyai telefon bimbit dan menggunakan MySejahtera boleh mendaftar dan membuat temujanji untuk ambil vaksin, apakah yang menghalang untuk membolehkan kebanyakan dari mereka untuk mendaftar mengundi atau membuat temujanji di pusat-pusat mengundi dengan menggunakan aplikasi ini atau sepertinya untuk mengurangkan kesesakan di hari mengundi?
Saya fikir perkara-perkara di atas tidak mustahil untuk dibuat, hendak seribu daya dan tidak hendak seribu dalih.
Pokoknya, usahlah berselindung di sebalik wabak untuk menangguh-nangguh pilihanraya.
Dan mengapa pula pilihanraya tidak boleh dibuat awal tetapi pemilihan UMNO mahu disegerakan pula?
Walhal kedua-dua perkara ini sama dari segi kedua-duanya melibatkan ramai orang berhimpun di sesuatu tempat. Beribu orang UMNO berhimpun di bahagian untuk pemilihan parti samalah ramainya seperti beribu orang pengundi berhimpun di sesuatu pusat daerah mengundi (PDM).
Dan jika pilihanraya di Melaka dan Sarawak boleh dibuat, mengapa tidak di negeri-negeri lain? Jika tidak boleh, tidak boleh semua; sesuatu dasar perlu konsisten bukan memilih-milih ikut kepentingan politik.
Kita perlu mencari jalan untuk menyelesaikan krisis politik, ekonomi dan wabak ini segera.
Kita sudah tiga kali tukar kerajaan selepas PRU-14 dan dua daripadanya tanpa mandat rakyat dengan ramai pelompat parti dan katak pula menjadi pembuat dasar. Akibatnya politik tidak stabil dan dasar yang dibuat tidak tentu arah dan tidak konsisten seperti mana pembuat-pembuat dasar yang tidak berpendirian yang melompat-lompat parti itu.
Selagi soal mandat ini tidak selesai, selagi itu politik negara ini tidak akan stabil, pelabur akan menjauhkan diri, dan ekonomi sukar pulih.
Sebab itu kita perlu selesaikan soal mandat rakyat ini dulu secepat mungkin untuk mencapai kestabilan politik dan seterusnya lebih fokus mengikhtiarkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara untuk kemakmuran rakyat. Bukan sibuk rampas kuasa dalam parti untuk kepentingan kuasa diri sendiri atau kepentingan parti lain.
Saya yakin akar umbi UMNO akan membuat keputusan yang tepat dan tidak terpedaya dengan helah puak-puak pro-PPBM dan pro-Muhyiddin tersebut.
Selamat bersidang kepada semua bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara. Salam.
Penulis adalah Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

