Reezal Merican ziarah keluarga pegawai bomba maut akibat letupan

0
1

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini menziarah ahli keluarga Allahyarham Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Firdaus Sulaiman yang meninggal dunia Isnin lalu akibat tercedera semasa operasi kebakaran.

Beliau berkata, tidak dapat digambarkan perasaan sedih dilalui keluarga Allahyarham terutama isteri dan anak perempuannya.

“Allahuakhbar… dugaan yang harus dihadapi keluarga arwah tidak dapat saya gambarkan, lebih-lebih lagi isteri arwah, Nurul Jannah Abd Hamid Khan dan anak perempuan mereka, Aisy Alisha yang baru berusia tiga tahun.

“Pemergian Allahyarham sewaktu menjalankan operasi cukup berat untuk diharungi. Kami sempat mengadakan majlis tahlil buat Allahyarham bersama keluarga dan rakan-rakan anggota bomba yang turut hadir,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Reezal Merican berkata anggota bomba bertarung nyawa dalam setiap operasi, menggadai keselamatan mereka sendiri demi rakyat
Malaysia yang dalam bahaya.

“Moga pengorbanan Allahyarham Mohd Firdaus tersemat dalam hati kita… merekalah wira dan wirawati kita. Saya mohon agar kita semua sedekahkan doa buat arwah serta wira penyelamat kita yang telah pergi. Al-Fatihah,” katanya.

Sabtu lalu, Mohd Firdaus dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran kilang.

Beliau meninggal dunia pada jam 4.15 pagi Isnin lalu di Hospital Segamat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here