KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan semula berhubung pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan mengambil kira bantahan semua pihak sebelum cadangan tersebut dibahaskan ke Parlimen.
Selain itu katanya, beliau juga akan mengkaji cadangan untuk meminda akta itu dan meminta nasihat perundangan sebelum melakukan sebarang tindakan selanjutnya.
“Sudah tentu (kaji semula naikkan kompaun), namun saya perlu mendapatkan pandangan dengan penasihat undang-undang. Saya sangat menghargainya, sebelum ini saya sendiri telah berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen mengenai Rang Undang-Undang (RUU) ini.
“Apa pun saya terima mesej ini (bantahan) dan akan kembali kepada pengurusan KKM untuk memperbetulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sekretariat Solidariti Rakyat di laluan masuk ke bangunan Parlimen, hari ini.
Khairy turut menerima memorandum Lawan Pindaan Akta 342 yang diserahkan Sekretariat Solidariti Rakyat.
Terdahulu pelbagai pihak meminta kerajaan memberi perhatian kepada keperluan peruntukan kompaun lebih tinggi dalam Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Mereka berpendapat pengenaan kompaun lebih tinggi tidak lagi relevan ketika semua orang bergelut dalam masalah ekonomi yang tidak menentu. – Malaysiapost

