5 lagi mayat mangsa bot karam ditemui

0
1

LIMA lagi mayat mangsa insiden bot karam yang membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor ditemui awal pagi tadi oleh pasukan keselamatan.

Penemuan itu menjadikan keseluruhan mangsa yang ditemui kini adalah seramai 30 orang iaitu 14 mangsa selamat dan 16 mangsa meninggal dunia.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa, berkata mangsa yang ditemui hari ini ialah tiga lelaki dan dua wanita.

Menurutnya, mayat pertama, lelaki ditemui seawal jam 6.45 pagi pada jarak 10 meter (m) dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC).

“Diikuti mayat kedua juga lelaki ditemui pada 6.52 pagi dengan jarak masing-masing 100m dari PHC manakala mayat seterusnya iaitu lelaki dan perempuan ditemui pada jam 7.30 pagi dengan dua kilometer dari PHC.

“Mayat kelima, wanita pula ditemui pada jam 7.45 pagi dengan jarak 2.5 kilometer dari PHC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Op Carilamat hari ini akan melibatkan keluasan 147 batu nautika pencarian di laut sekitar perairan Tanjung Balau dengan kekuatan aset Kapal Maritim (KM) TEGAS dan bot PETIR 50 Maritim Malaysia serta aset-aset agensi lain.

“Operasi hari ini turut melibatkan 133 petugas di PHC terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keadaan cuaca pada hari ini diramalkan hujan lebat beserta ribut petir dengan laut yang bergelora dijangka memberi cabaran kepada pasukan operasi melaksanakan OP Carilamat.

“Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Johor di talian 07-2199401,” katanya.

Semalam, 11 warga Indonesia ditemukan lemas di Tanjung Balau apabila bot dinaiki mereka karam dalam kejadian kira-kira 4,30 pagi dipercayai akibat cuaca buruk dan ombak tinggi.

Seramai 14 lagi pendatang tanpa izin di dalam bot itu selamat, dan kini 20 orang lagi dipercayai hilang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here