KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan lantikan Augustus Ralph Marshall, individu yang dikaitkan dengan kes jenayah rasuah melibatkan jumlah ratusan juta di Mahkamah di India sebagai ketua pegawai eksekutif kepada Digital Nasional Berhad (DNB).
Beliau berkata, perincian mengenai siapakah lagi anggota lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat itu perlu dirungkai kerana DNB adalah syarikat tunggal mengendalikan projek rangkaian 5G di negara ini.
“Apakah berkemungkinan wujud sebarang bentuk penyelewengan, ketirisan dan musibah rasuah apabila melantik secara tidak telus individu-individu yang dianggap kroni kepada beberapa kepimpinan parti politik?
“Apakah keputusan untuk melantik DNB sebagai syarikat tunggal mengendalikan projek RM11 billion yang dibuat ketika tempoh Proklamasi Darurat waktu Perdana Menteri ke-8 ini dianggap semacam agak tergesa-gesa dan membuka kepada pelbagai polemik melibatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik?,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, berkenaan dengan tadbir urus (governance), penglibatan semua pemegang taruh ‘stakeholders’ dan ketelusan dalam perlaksanaan agenda pendigitalan negara 5G oleh DNB juga tidak diperincikan serta dijawab secara berfakta.
Menurutnya, walaupun DNB adalah milik penuh Kementerian Kewangan (MOF) namun mengapa syarikat itu tidak diletakkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) atau Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang lebih mahir dalam industri telekomunikasi.
Beliau juga mempersoalkan adakah DNB akan bertindak secara bebas dalam operasi perniagaan terutamanya dalam perkara yang melibatkan penawaran tender dan pemberian kontrak bernilai tinggi, pemilihan kontraktor dan pembekal.
“Disebabkan tiada koordinasi dan kawalselia yang baik, lebih kepada menjadikan DNB sebagai sebuah GOC (syarikat) bebas.
“Ada berita mengatakan bahawa setakat ini, ‘roll out’ 5G di Lembah Kelang tidak mendapat kerjasama syarikat-syarikat telco untuk menyewa spektrum DNB,” katanya.
Pada 1 Mac 2020 Kementerian Kewangan mengumumkan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan menerajui DNB bagi melaksanakan infrastruktur dan jaringan teknologi 5G di seluruh negara.
Kementerian Kewangan telah melantik Augustus Ralph Marshall sebagai Ketua Pegawai Eksekutif DNB yang akan menerima peruntukan sebanyak RM15 bilion daripada kerajaan. – Malaysiapost

