Najib sekali lagi tak dibenar masuk mahkamah

0
1

DATUK Seri Najib Razak sekali lagi tidak dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah hari ini berikutan status kesihatan beliau di aplikasi MySejahtera masih berwarna kuning.

Perkara tersebut dimaklumkan bekas Perdana Menteri itu dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

“Minggu lepas saya dimarah sebab saya tidak hadir di mahkamah setelah status MySejahtera saya tukar ke warna kuning.

“Pagi ini saya hadir tetapi saya dihalang masuk mahkamah sebab warna MySejahtera saya masih kuning,” tulisnya dalam hantaran itu.

Dalam hantaran itu juga beliau memuat naik gambar sedang memegang telefon bimbit yang memaparkan status risiko Covid-19 miliknya berwarna kuning.

Pada 8 Disember lalu, prosiding rayuan Najib berhubung kes SRC International Sdn Bhd diadakan secara dalam talian.

Ia berikutan Ahli Parlimen Pekan itu dan beberapa anggota pasukan peguamnya mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19 dan perlu dikuarantin.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah Rayuan mendapati Najib diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Namun, hukuman terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Penangguhan itu dibuat oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here