KEMENTERIAN Air dan Sumber Asli memberi jaminan akan memberi perhatian serta mengambil tindakan sewajarnya berhubung projek pembetungan yang terbengkalai di Taman Melawati sejak empat tahun lalu.
Jaminan itu diberikan Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memaklumkan beliau telah menerima surat tuntutan berhubung isu tersebut daripada Pengerusi Taman Melawati Residents Association.
“Saya telah menerima salinan tuntutan Pengerusi Taman Melawati Residents Association, semalam. Insya-Allah, hal ini akan diberi perhatian dan tindakan akan diambil sewajarnya,” katanya.
Semalam penduduk Taman Melawati mendesak Tuan Ibrahim campur tangan bagi menyelesaikan projek pembetungan yang terbengkalai di kawasan itu sejak empat tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati, Azhari Abd Taharim berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan dan desakan daripada penduduk berkenaan projek tersebut yang menyusahkan kehidupan seharian mereka.
Menurutnya, antara masalah dihadapi ialah kerosakan kenderaan akibat jalan berlubang dan kesesakan lalu lintas.
Dakwanya, antara punca projek tersebut terbengkalai sekian lama ialah pihak pemaju gagal mendapatkan dana daripada pihak berwajib untuk meneruskan projek.
Sebelum ini, pemaju dilaporkan berjanji projek itu dijangka siap pada 2018, tapi sehingga kini ini ia masih tertunggak. – Malaysiapost

