PRN Sarawak: 17,885 kertas undi pos dikeluarkan

0
1

SURUHAJAYA Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 17,885 kertas undi pos kepada individu yang berhak melaksanakan tanggungjawab mereka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata pengeluaran kertas undi pos hari ini dijalankan petugas pilihan raya di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seperti diperuntukkan mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Beliau berkata, kesemua kertas undi pos tersebut terdiri daripada 16,728 kategori Borang 1A (petugas pilihan raya, ahli /pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media).

“Sebanyak 365 undi pos lagi untuk kategori Borang 1B yang terdiri daripada warganegara Malaysia di luar negara, 679 kategori Borang 1C bagi sembilan Agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan serta 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2).

Katanya, borang itu perlu segera dikembalikan kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 18 Disember depan.

“Pengundi juga diingatkan untuk sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menyebarkannya di laman media sosial,” katanya.

Sebelum ini, SPR menetapkan PRN Sarawak Ke-12 diadakan pada 18 Disember depan dengan pengundian awal pada 14 Disember ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here