BUAT julung kalinya, Keluarga Malaysia akan dapat melihat secara dekat realiti sebenar cabaran yang ditempuhi oleh juruanalisa di CyberSecurity Malaysia dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab melindungi negara, melalui telefilm ‘SiberKASA’.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata ‘SiberKASA’ terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia merupakan telefilem mengenai keselamatan siber yang diangkat berdasarkan kisah benar.
Menurutnya, Keluarga Malaysia telah menerima serta menggunakan teknologi dan internet sebagai gaya hidup era digital masa kini namun di sebalik penggunaan tersebut, mereka tidak mengamalkan tingkah laku yang sewajarnya.
“Malah masih ramai menggunakan teknologi secara negatif, tidak beretika dan tanpa sikap bertanggungjawab menyebabkan Keluarga Malaysia terdedah kepada ancaman dan serangan siber yang menimbulkan ketidakharmonian sosial dalam Keluarga Malaysia seterusnya menggugat kesejahteraan negara.
“Justeru, telefilem ‘SiberKASA’ ini diharap dapat dijadikan sebagai salah satu cara mendidik masyarakat memahami trend mutakhir ancaman siber, modus operandi jenayah siber serta amalan terbaik yang perlu diamalkan oleh warga digital Keluarga Malaysia sewaktu menggunakan teknologi dan Internet.,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan telefilm ‘SiberKASA’ arahan Raja Mukhriz R. Ahmad Kamaruddin yang berdurasi 90 minit sempena Pameran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Annuar turut menggesa Keluarga Malaysia agar mengambil iktibar insiden-insiden dan ancaman siber yang berlaku bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa serangan siber.
“Selain itu, warga digital dalam Keluarga Malaysia perlu memiliki kawalan kediri sewaktu menggunakan teknologi, Internet dan media sosial,” ujarnya.
Katanya, penerbitan telefilm itu dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan warga digital Keluarga Malaysia mengenai ancaman dan serangan siber serta mampu menyemai sikap positif dan cakna terhadap penggunaan teknologi melalui babak yang dipaparkan menerusi telefilem itu.
Telefilem ‘SiberKASA’ merupakan karya ulung berkaitan bidang keselamatan siber dengan barisan pelakon seperti Zulhuzaimy, Thanuja Ananthan, Mona Allen, Qi Razali dan Riz Amin.
Kesemua prosedur dan pengoperasian yang dipaparkan mengikut kaedah tatacara kerja sebenar dan bukan hanya sekadar lakonan.
Selain memberi gambaran jelas tentang bidang kerjaya juruanalisa keselamatan siber, telefilem itu dapat mewarnai industri perfileman negara dengan kepelbagaian genre.
Telefilem ‘SiberKASA’ dijangka akan mula ditayangkan pada hujung tahun 2021. Keluarga Malaysia boleh menonton telefilm ini di saluran media tempatan. – Malaysiapost

