KERAJAAN setakat ini tidak berhasrat menarik balik sebarang kelulusan berkaitan pelesenan penjualan minuman keras dan ia kekal di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut menafikan tohmahan yang menuduhnya bertindak membatalkan perkara berkaitan aspek pelesenan berkenaan.
Beliau berkata, perwakilan kuasa Menteri Kewangan bagi kelulusan penjualan minimum keras secara runcit di premis, kekal tanpa sebarang perubahan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri melalui perintah diwartakan, pada 1977.
Menurutnya, oleh itu sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian daripada pelesenan adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya.
“Dakwaan atau tohmahan bahawa Menteri Kewangan membatalkan perwakilan kuasa tersebut adalah tidak benar. Terdapat kekeliruan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras ini di peringkat negeri.
“Setakat ini, tiada pindaan dibuat bagi perwakilan kuasa tersebut, di mana kerajaan negeri diberi kuasa untuk membuat keputusan berkenaan lesen penjualan minuman keras.
“Saya akur baru-baru ini timbul pelbagai kekeliruan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras di peringkat negeri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Tony Pua (PH-Damansara) mengenai rasional perintah baharu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mewajibkan kedai kopi dan restoran memohon lesen arak, mulai tahun depan.
Zafrul berkata, kementerian juga sudah mengarahkan JKDM untuk mengambil tindakan segera dan mengemaskini segala dokumen perintah atau garis panduan selewat-lewatnya 31 Disember ini bagi memastikan kekeliruan ini tidak berulang.
Menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol), yang bertanyakan bagaimana kerajaan menangani isu kehilangan cukai akibat rokok dan arak seludup, beliau berkata kawalan dan tindakan penguatkuasaan sentiasa dipergiatkan.
Beliau berkata, mengikut rekod JKDM, Malaysia dianggarkan kehilangan cukai kira-kira RM280 juta susulan 2,518 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah bernilai RM41.43 juta sehingga September lalu.
Katanya, negara juga menanggung jumlah kehilangan cukai bernilai RM707 juta menerusi 2,842 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah, membabitkan nilai kira-kira RM97 juta, pada 2020.
“Dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat penyeludupan rokok dan minuman keras, JKDM sentiasa mempergiat kawalan dan tindakan penguatkuasaan melalui aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot dan kenderaan, serta pelbagai operasi khas.
“Walaupun negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, usaha menangani penyeludupan terus dipertingkatkan dan melakukan pelbagai tindakan, termasuk menyertai operasi dan merangka operasi lebih dinamik,” katanya. – Malaysiapost

